LAMAN RASMI SK KANCHONG DARAT

https://skkdcemerlang.blogspot.com/2021/06/blog-post.html

Kemelut kegawatan ekonomi

Petang semalam saya mendengar Sinar FM segmen kelolaan Linda Onn. Apa yang mencuit jiwa adalah luahan perasaan seorang suri yang tidak tertanggung lagi menghadapi kemelut permasalahan hidup akibat kegawatan ekonomi. Selain bebanan hutang, beliau juga dihimpit kesempitan kerana suaminya juga menghadapi permasalahan kerja.

Apa yang ingin saya kongsi ialah perihal kata-kata beliau yang sudah berputus asa dan lebih rela mati. Saya menyokong kata-kata semangat Linda yang memberi nasihat agar sabar dan tabahkan hati menjalani dugaan hidup kerana belum tentu kita akan 'tenang' sesudah mati. Mungkin kita akan lebih sengsara lagi akibat perbuatan ketika hidup. Kata Linda, sekarang kalau susah, kita boleh lari, tetapi sesudah mati, ke mana lagi mahu lari...

Kepada saudara seagama, jika anda dihimpit kesempitan akibat kegawatan, jangan berputus asa. Ingat segala dugaan dan permasalahan hidup adalah cabaran Maha Esa. Sesusah manapun kita, sudah tentu ada yang lebih susah. Hadapilah sebaiknya. Sebab itulah, orang tua-tua ada berpesan; 'ingat sebelum lupa, jimat sebelum habis'. Ketika inilah kita sebaiknya bermuhasabah diri dan lebih mengingati dan mendekati Maha Pencipta. Mungkin kita lupa dan lalai sebelum ini. Inilah saatnya kita membetulkan diri. Banyakkan sabar, berusaha dan bertawakal serta banyakkan beristighfar dan bertaubat. Taubat bukan semata di mulut, tetapi dengan perlakuan. InsyaAllah, masih ada sinar harapan untuk kita nikmati.

Apabila sudah senang pula, ingatlah saudara kita yang berada dalam kesusahan sama ada ketika gawat atau tidak. Dalam rezeki kita, ada rezeki orang. Kerana itulah Islam menganjurkan amalan sedekah dan kewajipan zakat. Walau kita susah, masih boleh bersedekah untuk menyuburkan rezeki. Dan selalunya kita hanya berzakat fitrah, kali ini apalah kiranya kita subur kembangkan lagi kewajipan zakat lain dengan harapan dapat menyuci dan menambah barakah rezeki. Semoga sedikit kata-kata ini mampu mengubah persepsi diri dalam menghadapi sekelumit dugaan Ilahi.

No comments

Powered by Blogger.