LAMAN RASMI SK KANCHONG DARAT

https://skkdcemerlang.blogspot.com/2021/06/blog-post.html

Matematik Membosankan?

Cuba kita tanya anak-anak adakah matematik membosankan? Tentu kita akan mendapat pelbagai jawapan daripada mereka. Kebiasaannya ia akan menjadi subjek membosankan kerana anak-anak tidak memahami istilah-istilah matematik serta tidak mengingati sifir.

Kebolehan menyelesaikan masalah matematik bukan satu kurniaan azali tetapi ia perlu digilap secara berterusan. Jika anak-anak kita tidak dapat memahami kemahiran matematik yang diajar guru, ini bukan bermakna mereka gagal menguasai atau tidak memiliki kebolehan belajar matematik. Penguasaan ilmu matematik memerlukan teknik yang perlu dipelajari dengan kemahuan menguasai pengetahuan tersebut serta diiringi kesungguhan dan pengorbanan.

Anak-anak tidak boleh cepat berputus asa atau menyerah kalah apatah lagi menganggap subjek tersebut hanya untuk individu yang 'pandai' atau 'istimewa'. Anggapan sedemikian akan menjadi halangan utama dalam menguasai subjek ini. Sebenarnya ilmu matematik memiliki ciri abstrak tertentu menyebabkan ramai pelajar di seluruh dunia menganggap ia satu subjek yang sukar dan menakutkan. Ramai pelajar bersikap negatif tentang matematik. Ramai pula yang tidak suka matematik kerana pernah melalui pengalaman kurang menyenangkan apabila belajar matematik. Mungkin ada antara mereka pernah diejek rakan atau diherdik guru kerana 'lembab'. Pengalaman sebegini akan menyebabkan anak-anak cenderung menganggap kebolehan matematik adalah satu kurniaan dan turut dipengaruhi oleh faktor genetik.

Realitinya, kebolehan belajar matematik berkait rapat dengan sikap kesungguhan serta ketekunan untuk menguasainya. Ia bukan kurniaan kepada golongan atau 'baka' tertentu. Kesungguhan dan ketekunan ini perlu didorong dengan budaya berlumba yang sengit untuk mencapai tahap pemahaman dan pencapaian terbaik. Sikap kesungguhan dan ketekunan menuntut ilmu perlu dipupuk secara beransur-ansur dalam diri anak-anak sejak kecil. Kesungguhan ini bukan semata-mata dengan nawaitu mendapat markah tertinggi dalam ujian sekolah, tetapi ia harus menjadi keperluan harian kerana kemahiran matematik digunakan setiap hari dalam hidup kita. Malahan boleh dikatakan hampir semua bidang pekerjaan memerlukan pengetahuan matematik daripada mengira mudah sehingga kepada menjalankan analisis kompleks untuk menyelesaikan masalah.

Justeru itu, pihak ibu bapa perlu memupuk sikap dan tabiat kesungguhan dan ketekunan ini dalam sanubari anak-anak. Jangan serahkan peranan 100% kepada guru dan sekolah semata-mata kerana sikap kita juga akan mempengaruhi prestasi pencapaian anak-anak. Sikap negatif jika tidak dikawal menjadi tabiat yang sukar dibaiki. Tanamkan sifat suka bertanya dan keyakinan diri dalam jiwa anak-anak.

Guru yang merupakan sumber utama ilmu perlu didekati bukan ditakuti. Dekati guru dan bertanyalah jika menemui kebuntuan kerana setiap guru yang berpengalaman tahu punca kesukaran kita. Biasakan bertemu guru dan jalin pertalian mesra dengan mereka. Jangan sesekali berputus asa kerana di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Bantulah guru untuk membantu anak-anak.

No comments

Powered by Blogger.