Pendidikan Percuma
![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjG_uR1WBSL320pMvFKd8SEh7wgakWelLTdP6WFWT6OnvtM0px1EsYOLQiDmstXUAAkNjUBL2dzaw0HfqsRGxL08fpR8q-sZjP2kNZiO0a0l-0vpw-1iWt5Ej5UUaDvV_kYOV-mQ9SoHROJ/s320/16052008951.jpg)
Semasa persidangan pada tahun 2000 pula, enam matlamat utama telah ditetapkan yang mana salah satu daripadanya adalah untuk ‘Menyediakan Pendidikan Peringkat Rendah secara Percuma dan Wajib untuk Semua’. Negara kita juga terlibat dalam persidangan ini dan telah memulakan langkah dengan memperkenalkan Dasar Pendidikan Wajib pada tahun 2003 pada peringkat sekolah rendah. Bagi menyokong dasar ini, KPM menyediakan Tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) bagi memastikan tiada murid di sekolah rendah yang tercicir daripada persekolahan.
Selain itu, kerajaan juga menyediakan pelbagai jenis bantuan lain kepada murid miskin seperti Rancangan Makanan Tambahan, Program Susu Sekolah, Biasiswa, Bantuan Makanan Asrama, Bantuan Makan Khas Prasekolah dan lain-lain. 2007 pula, kerajaan telah memansuhkan semua yuran peperiksaan awam. Tidak cukup dengan itu, skim pinjaman buku teks telah diberi percuma kepada semua murid tanpa mengira latar belakang pendapatan keluarga dan jenis sekolah pada tahun 2008. Sebelum itu, KPM hanya menawarkan Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) kepada murid daripada keluarga yang berpendapatan rendah berdasarkan kriteria yang ditetapkan. 2008 juga, yuran khas sekolah sebanyak RM 4.50 untuk sekolah rendah telah dimansuhkan (RM 9.00 untuk sekolah menengah).
Setelah begitu banyak yang telah diberi percuma, ibu bapa masih perlu membuat bayaran tambahan kepada sekolah untuk menampung pelaksanaan sejumlah aktiviti yang memerlukan kewangan tambahan melebihi peruntukan yang disediakan oleh kerajaan seperti program gotong-royong, anugerah kecemerlangan tahunan, aktiviti kokurikulum, hari sukan, aktiviti keagamaan, perkhemahan tahunan, hari terbuka sekolah dan sebagainya yang boleh membantu perkembangan psikologi dan kemahiran sosial anak-anak. Jika ibu bapa enggan menyumbang keperluan untuk sekolah, bagaimana pihak sekolah hendak menjalankan segala program yang dirancang semata-mata demi anak-anak.
Sumbangan ini pula hanya boleh diminta setelah mendapat persetujuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan selepas mendapat kelulusan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN). Atas permintaan ibu bapa, KPM telah menetapkan siling kepada bayaran tambahan ini sebagai panduan yang boleh digunakan oleh PIBG dan sekolah supaya tidak berlaku sebarang tuntutan bayaran yang tidak wajar sepertimana pernah kecoh setiap kali awal persekolahan.
Namun demikian, kita juga perlu ingat tanggungjawab kita dalam memberi pendidikan sempurna terhadap anak-anak. Pihak berwajib telah banyak memberi, bukan bermakna kita sekadar menerima. Kita perlu turut serta dalam 'pelaburan pendidikan anak' kerana ia merupakan 'pelaburan' yang amat bermakna buat ibu bapa, dunia dan akhirat.
No comments